97) Menggunakan Segala Yang Ada.
Hmm.. Sudah lama tak guna Bahasa Melayu, apatah lagi bahasa yang skematik. Jadi, sebelum kata putus untuk gaya yang harus dipilih untuk entry yang dikira ‘matang’, ada baiknya dicuba terlebih dahulu bahasa standard ni. Manalah tau, kot terasa menarik la pulak. Ye tak?
.
.
Ketika belajar di universiti dahulu, saya ada bertemu dengan seseorang. Orang itu amat dihormati, yang kini menjadi salah seorang daripada sepuluh pengetua cemerlang di Malaysia, yang kini mengajar di salah sebuah sekolah yang terkenal di Perak. Beliaulah antara orang yang banyak membentuk corak pemikiran saya untuk menjadi diri yang sekarang ini.
.
.
Yang menariknya ialah ketika kami berborak, beliau akan menggunakan kesempatan itu untuk ‘rehearse’ ucapan dan ceramahnya pada saya dan sahabat-sahabat saya. Itu memang suatu yang tak disangka-sangka. Hinggalah apabila beliau menyatakannya, barulah kami menyedarinya.
.
.
Dalam perbualan yang santai seperti itu, beliau berborak seperti biasa (tiada formaliti), tetapi isi dan perdu kepada kata-katanya itu merupakan bahan yang akan disampaikannya dalam ceramahnya (sebagai bahan mengajar kursus kepada pengetua-pengetua lain!) untuk hari yang akan datang, di mana kursus itu terpaksa dibayar beratus-ratus ringgit sebagai kos pembelajarannya. Saya dan sahabat-sahabat saya pula boleh mempelajarinya hanya dengan secawan teh panas dan beberapa cucuk satay sahaja.
.
.
Apa yang menarik ialah apabila beliau menghuraikan sebab-musabab perbuatannya itu yang berdasarkan falsafah “menggunakan segala apa yang ada”. Contoh paling mudah yang dapat dilihat adalah sebagaimana kata-kata yang dahulunya hebat dilaung-laungkan, “Wawasan 2020”, yang dipelopori oleh Mahathir. Persoalan yang timbul ialah:
.
“Jika Perdana Menteri ditukar, adakah Perdana Menteri yang seterusnya akan meneruskan Wawasan 2020 hasil Perdana Menteri yang lama, atau adakah dia akan mencipta wawasan barunya sendiri? Katalah jika saya menjadi seorang pengetua sekolah yang baru, patutkah saya melancarkan rancangan saya sendiri untuk memantapkan kehebatan sekolah, atau patutkah saya mengikut rancangan pengetua lama yang masih belum selesai?”
.
.
Atas sebab itulah kita perlu menggunakan segala apa yang ada dan tidak perlu terlalu berjimat dan berharap pada generasi yang seterusnya. Maka itulah yang diterapkan dalam bab berpersatuan. Jika dengan penat lelah kita meningkatkan taraf ekonomi persatuan hingga banyak duit berada dalam simpanan, wajarkah ia diwariskan pada komiti yang seterusnya? Sekali tengok, komiti baru dok memperabih duit tu untuk majlis makan yang kaw-kaw daaaa.. Mereka kenyang, kita pula apa yang dapat? Ada baiknya digunakan untuk komiti lama berpesta dan bersukaria daripada hasil titik peluh sendiri. Itu lebih bermakna.
.
.
Maka samalah nasibnya dengan Wawasan 2020. Apa yang sudah terjadi dengan istilah tersebut? Apakah maknanya lagi pada generasi sekarang? Bagaimana pula dengan segala ‘pelaburan’ yang diusahakan sebelumnya untuk objektif tersebut?
.
.
Itu jika kita lihat dalam bab pelaburan dan perancangan. Dalam bab persediaan pula, itulah yang diaplikasikan oleh beliau (menggunakan peluang bersama saya dan sahabat-sahabat saya untuk rehearse ceramah). Menggunakan bukan sahaja segala sumber yang ada, malah segala peluang dan kemampuan yang ada.
.
.
Pada ketika kata-katanya berkenaan falsafah tersebut disampaikan, ia seolah-olah hanya sekadar satu ‘data’ yang menarik untuk didengar. Tetapi apabila saya mula bergiat dalam alam kerjaya, barulah saya sedar, itulah KEMAHIRAN penting yang harus diutamakan (terutama sekali apabila terlibat dalam bidang pengurusan). Barulah saya sedar betapa berharganya ilmu yang terkandung di sebalik kata-katanya, jauh melebihi harga secawan teh tarik dan beberapa cucuk satay.
.
.
Barulah saya sedar, segala arahan dalam kelas mempertahankan diri dahulu;
“Jangan berhenti bila tak teringat buah!! Tunggu apa lagi??!! Habiskan je dengan apa-apa buah sekalipun yang teringat dek kepala otak tu!! Tak dapat habiskan dengan buah, habiskan dengan pemakan!!”
.
memberi impak yang besar dalam merealisasikan falsafah tersebut.
.
.
Ya, penggunaan segala sumber, peluang dan kemampuan masih belum memadai. Tindakbalas refleks dalam menggunakan masa yang paling singkat itu juga sangat penting dalam membuat keputusan dan mencari jalan alternatif yang lain. Dalam keadaan yang genting, itulah elemen yang akan menyelamatkan kedudukan dan pretasi diri daripada rungutan pelanggan dan tengkingan boss.
.
.
Apa yang pasti, dalam mempraktikkan ‘menggunakan segala APA yang ada’, salah satu daripada perkara yang tergolong dalam kategori ‘APA’ itu adalah kuasa. Dan dengan memiliki kuasa itulah falsafah tersebut dapat diperkasakan lagi kepada ‘menggunakan SESIAPA sahaja yang ada’. Tidak kira siapa sekalipun – pekerja, pelanggan, boss, pelabur, kawan, musuh – semuanya boleh ‘dimanipulasikan’ (dalam bahasa kasarnya lah) dalam setiap jalan penyelesaian untuk kita mencapai objektif yang diingini.
.
.
Dalam situasi blogging ini misalnya, barulah saya sedar bahawa dengan secara tidak langsung, saya sendiri seolah-olah telah ‘dilatih’ (sebenarnya ‘dipengaruhi’) oleh ideologi beliau.
.
.
Layout blog terasa kosong?
Tambahkan shaja gambar yang boleh diperoleh di mana-mana sahaja dalam Internet.
.
Kepala tajuk tidak cukup ruang untuk menaip dan menyusun gambar?
Gunakan sahaja Microsoft Powerpoint untuk menyusunnya yang kemudiannya di ‘print screen’ dan diubahsuai formatnya melalui Microsofr Paint.
.
Ingin menyusun entry supaya pembaca boleh membaca mengikut urutan bacaan?
Gunakan sahaja kaedah pernomboran.
.
Ingin merujuk semula entry tanpa perlu menaip semula tajuknya?
Ringkaskan sahaja dengan hanya menaip nombornya.
.
Arkib blog tidak memuaskan dan tidak dapat disusun sebagaimana yang dikehendaki?
Gunakan sahaja entry pada blog lain sebagai jalan arkibnya.
.
Komen orang lain mula lari dari tajuk?
Klik sahaja icon ‘delete’.
.
Masalah masih tak berkesudahan?
Halau sahaja ia keluar.
.
.
Semuanya digunakan cara yang bersesuaian dengan kemampuan diri, yang ada pada diri pada ketika itu. Yang penting, habiskan sahaja ‘buah’. Ikut cara mana nak habiskan, dan macam mana rupa endingnya, itu belakang kira. Atau dengan kata lain, falsafah:
.
“Proceed je dulu.. Masalah fikir kemudian..”
.
.
Apa yang menariknya ialah apabila seorang konsultan yang menggunakan fasiliti tempat saya bekerja ini menceritakan pengalaman dan berkongsi pengetahuannya dalam sesi borak-borak membuang masa di malam hari. Jika mengikut cara kerjanya (yang dipelajari daripada gurunya, seorang konsultan yang berbangsa Cina), mereka tidak langsung akan menumpukan perhatian pada kertas kerja dalam nak menjalankan sesebuah modul.
.
“Haiyoo.. Buat apa mau pakai itu kertas kilija? Lu tengok aaa, wa punya olang (Chinese) mana ada buat itu kertas kilija.. Bagi kertas A4 kosong saja sulah laa.. Time itu juga balu kita belajar spontaneous lo.. Lu buat itu kertas kilija pun, sure talak ikut 100% lo..”
.
.
Melalui kenyatan tersebut, ada beberapa perkara yang dapat saya tahkidkan. Pertamanya, jika kita adalah yang jenis suka pakai serban dan membahasakan diri sebagai “Ana” walaupun nama kita bukan Suzana, Rohana, Anna Nicole Smith, Anna Kournikova, ataupun Brianna Banks, kenyataan ini pasti tertahkid:
.
“Kita hanya merancang, tetapi yang menentukan ialah Dia..”
.
.
Bukannya bermaksud saya ingin cuba menghasut orang ramai untuk menghapuskan budaya kertas kerja. Perdunya ialah kita janganlah menjadikan kenyataan tersebut sebagai alasan. Yang penting, kita hendaklah berusaha untuk melaksanakannya sesempurna mungkin.
.
.
Yang kedua, apa yang saya dapat simpulkan adalah itu adalah satu kemahiran yang sangat berharga pada mereka yang suatu ketika dahulu semasa belajar adalah orang yang selalu buat assignment last-last minit. Memang pada dasarnya ia bukanlah satu budaya yang elok, tetapi jika kita lihat pada sudut yang positif, orang jenis ini mempunyai satu kelebihan yang nyata – kreatif dan bijak dalam mencari jalan penyelesaian alternatif dalam keadaan yang genting, dengan kaedah yang spontan.
.
.
Secara jujurnya, dalam setiap apa yang berlaku sekalipun, bak kata orang putih, “Shit happens”. Sehebat-hebat perancang seperti Michael Scoffield sekalipun, rancangannya tidak berjalan lancar sebagaimana Plan A yang ideal. Jika tersasar, maka falsafah menggunakan segala apa (dan siapa) yang ada pada diri sendiri itulah yang digunapakai.
.
.
Barulah saya faham kenapa terdapat isu di mana graduan-graduan yang pandai-pandai dengan CGPA yang hebat tidak mampu untuk mencapai tahap dan prestasi sebagaimana yang diharapkan oleh syarikat-syarikat yang mengambil mereka bekerja. Pertamanya, kerana minda itu telah disempitkan hanya dengan Plan A yang ideal. Jika barang tak ada, maka tiadalah jalan penyelesaian lain, maka terbengkalailah ia begitu sahaja.
.
.
Kadangkala, melalui cara belajar dan menjawab soalan perperiksaan pun kita sendiri sudah boleh mengenalpasti bagaimanakah sebenarnya tahap pemikiran seseorang. Kadangkala, terdapat orang yang apabila tidak mampu menjawab satu soalan kerana tidak mengingati rumus, maka akan ditinggalkannya, walaupun cara kerjanya diketahui. Sedangkan terdapat banyak cara untuk menyelesaikannya walaupun tanpa menggunakan rumus tersebut.
.
.
Sedangkan jika kita mengaplikasikan konsep algebra, boleh sahaja kita memperoleh jawapannya. Apa yang pasti, jawapan hanya akan menjadi tidak tepat sebagaimana yang digariskan oleh skema (jawapan yang sepatutnya hanya satu nombor telah menjadi satu persamaan dengan pelbagai huruf pula), tetapi adakah bermaksud jawapan tersebut dan konsep jalan kerjanya salah?
.
.
Selalu kita dinasihatkan bahawa jika kita tidak boleh menjawab soalan tersebut, kita harus meninggalkannya dan beralih kepada soalan lain yang boleh kita jawab. Ya, betul. Tetapi jika situasinya adalah hanya bab pada soalan itu sahaja yang kita sudah mengulangkaji (manakala soalan lain memang kita haprak pun tak tau), yang mana hanya soalan itu sahaja yang akan menentukan lulus atau gagalnya kita dalam subjek tersebut, patutkah kita menyerah, duduk berteleku dengan kening yang berkerut, memeras otak untuk mengingat semula rumus, atau patutkah kita berusaha dengan sumber-sumber dan pengetahuan lain yang sudah pun ada pada diri sendiri?
.
.
Kerap yang menjadi penyelamat saya dalam ‘lulus tipis’ pada subjek-subjek tertentu adalah konsep tersebut. Jika sudah terlupa rumus, tetapi tahu cara kerjanya, buat sahajalah. Jangan buang masa. Mana tahu mungkin dalam 2 minit sebelum masa tamat, barulah dapat diingat semula rumusnya, maka gantikan sahajalah dalam huruf algebra tersebut untuk memperoleh nilai sebenar. Secara tidak langsung, soalan yang mengambil masa 20 minit untuk diselesaikan dapat di’cover balik’ dalam hanya 2 minit sahaja.
.
.
Itulah yang selalu berlaku di alam realiti. Kita kadangkala dipertanggungjawabkan atas sesuatu (projek misalnya), tetapi yang menjadi masalah pada ketika masa yang terhad itu adalah kekurangan sumber. Adakah bermaksud kita mesti perlu tunggu barang sampai baru boleh disambung kerja, ataupun adakah kita boleh buat sementara waktu menggunakan sumber yang ada pada ketika itu?
.
.
Pada saya, itulah satu-satunya kemahiran yang dipelajari di universiti, yang tidak pun diajar di dalam kelas kuliah, yang menjadi kemahiran yang sangat penting dalam bidang kerja saya. Terutama sekali apabila berada dalam situasi ‘cinta tiga segi’ (pelanggan, pekerja dan boss semua akan tuju peluru pada saya). Dalam keadaan genting dan masa yang terhad itulah sesebuah keputusan dan jalan penyelesaian perlu dilaksanakan untuk kesejahteraan semua pihak (dibaca: “to save my ass”).
.
.
Tak cukup barang?
Punggah sahaja stor kot terjumpa apa-apa yang boleh dipakai buat sementara waktu untuk mengkaburi mata pelanggan dan boss.
.
Dah order barang, tapi masih belum sampai?
Cabut sahaja barang terpakai dari mana-mana bahagian lain dahulu buat sementara. Nanti gantikanlah balik.
.
Nak order barang, tapi petty cash tak ada?
Dahulukan sahaja pembeliannya dengan duit PEKERJA (bukan duit sendiri), nanti claim lah balik.
.
.
Banyak lagi masalah yang dihadapi, tetapi berkat teori falsafah secawan teh dan beberapa cucuk satay tersebut, ia merupakan suatu pengalaman dan sesi mempertajamkan kemahiran membuat keputusan yang sangat bermakna.
.
.
Kesimpulannya, sememangnya terbukti kata-kata seseorang kepada saya ketika saya belajar di universiti dahulu:
.
“Engkau belajar kat U ni, nanti bila kau keluar dan bekerja, yang kau belajar kat kelas yang diaplikasikan tu tak sampai 5% pun. Benda-benda yang macam inilah baru yang banyak diaplikasikan.. Kalau tak percaya, kau tengoklah nanti..”
.
.
Comments(5)